Nota Cinta

Wednesday, February 11, 2004

As-Syu'ara' 1-227 & doa sembuh sakit Nabi Ibrahim as



11-02-04 Sahih Muslim dari Itban dan Anaz bin Malek ra sabda Nabi saw. 2 Kalimah syahadah yang diredhai Allah tidak akan dimasukkan ke neraka. 

Tafsir Nurul Ihsan jilid 3 ms153 surah Ash-Syu’ara’ Maqiah (diturunkan di Mekah) ayat 1-51

BERITA MUSA AS 

Firman Allah sabda Nabi saw,
Quran sebuah kitab yang jelas menzahirkan kebenaran Islam samada yang halal dan yang haram. Wahai Muhammad, beritahu mereka, lihat alam sekeliling, siapa yang membuat ini semua. Adakah terjadi dengan sendirinya? Khabarkan berita Musa as. Ketika di Jabal Tur, Musa berkata”Ya Tuhanku, aku takut lidahku kelu di depan raja besar yang zalim itu. Aku pernah menampar sehingga terbunuh seorang Kibsi kaum Firaun ketika meleraikan pergaduhan. Ya Allah, berikan pengiring semangatku iaitu sepupuku Harun as.” Firman Allah “Jangan bimbang, mereka tidak akan bunuh kamu. Akan Kami perintahkan Harun yang sekarang ini berada di Mesir itu.” Nabi Musa as dan sepupunya Nabi Harun as akhirnya berjaya dibawa mengadap Raja Fir’Aun setelah setahun berusaha. Ketika Fir’Aun menonton persembahan Harimau Singa Beruang dan Serigala, kesemua binatang buas itu tiba-tiba menerkam lalu berjinak dan bermanja  dengan Musa dan Harun seolah-olah Musa dan Harun ini tuan mereka. 

Fir’Aun berkata. “Aku kenal kamu ini, kamu patut syukur aku telah besarkan kamu seperti anak aku. Inikah balasan kamu setelah aku lepaskan kamu walaupun kamu membunuh salah seorang kaumku.” Nabi Musa menjawab, “Betul kamu besarkan aku selama 30 tahun. Selepas kes aku tidak sengaja menampar sehingga terbunuh seorang kaum kamu, aku melarikan diri ke Madyan selama 10 tahun. Di sana aku dilantik menjadi Nabi, tetapi setimpalkah dengan penzaliman ke atas 630,000 bani israel itu? Kata Fir’Aun.”Kamu kata kamu diutus Rabbul Alamin, siapa dia ni? Balas Musa “Allah iaitu Tuhan seluruh alam semesta, Tuhan kamu dan Tuhan seluruh nenek moyang kamu.” Fir’Aun dengan segera mengarahkan hulubalangnya tangkap Musa. Musa membalas” Nanti dulu, berikan peluang sebagai membuktikan mukjizat kebesaran Allah yang dibekalkan kepadaku.” Tangan Musa keluar bersinar seperti cahaya spot light.

Pembesar-pembesar Fir’Aun menuduh Musa ini ahli sihir dan mereka mencadangkan agar Musa bertarung dengan semua penyihir handalan mereka. Pertarungan dimulakan dengan 72 ahli sihir mencampakkan segala jenis tali yang kesemuanya bertukar menjadi ular. Musa membalas serangan tersebut dengan melontarkan tongkatnya lalu bertukar menjadi ular besar menelan kesemua ular-ular tukang sihir Fira’Aun. Dengan segera, para sihir sujud sambil berkata “Ini bukan sihir, sesungguhnya kami beriman dengan Tuhan seluruh alam iaitu Tuhan kepada Musa dan Harun. Sekiranya kami diseksa dengan dipotong tangan dan kaki oleh Fir’Aun sekalipun, kami tetap rela dan kami menunggu saat kehidupan kekal yang sebenar itu.”

10-03-04 Sahih Muslim dari Hakim bin Hizam ra sabda Nabi saw. Masuk Islam ikhlas kerana Allah bukan kerana kahwin atau ingin terima wang zakat akan luruh dosa semasa kafir. Masuk Islam dengan niat jahat diambil kira dosanya ketika kafir untuk diseksa di neraka. 

Tafsir Nurul Ihsan jilid 3 ms158 surah Ash-Syu’ara’ Maqiah (diturunkan di Mekah) ayat 52-89

Firman Allah sabda Nabi saw,
Allah perintahkan Nabi Allah Musa as membawa Bani Israel keluar dari bumi Mesir berjalan pada waktu sahur ke arah laut. Kaum Musa mempersoalkan tindakan baginda kerana ia memudahkan mereka ditangkap oleh Fir’Aun tetapi Musa menegaskan itu perintah Allah, hanya Allah yang tahu kenapa. Firman Allah kepada Musa, Aku akan tenggelamkan Fir’Aun dan tenteranya yang mengejar rombongan kamu nanti. Kami matikan anak perempuan supaya Musa dituduh bunuh dan gerakkan hati seluruh penduduk Fir’Aun supaya meninggalkan harta benda mereka demi mengejar rombongan Musa as. Tujuannya supaya harta rakyat kaum Fir’Aun diwariskan kepada Bani Israel setelah sekian lama mereka ditindas. Setibanya di laut, Fir’Aun muncul semakin menghampiri mereka. Pengikut rombongan Musa yang taat terjun ke laut seorang demi seorang lalu syahid. Tercengang dengan keadaan itu, Musa semakin cemas dan mati akal. 

Akhirnya dengan kehendak Allah, Musa diperintahkan supaya menghentakkan tongkat baginda dan laut yang terbentang luas itu tiba-tiba membentuk laluan dasar. Ketika rombongan Musa menyeberang, lautan di kiri kanan yang menjadi dinding itu langsung tiada percikan air walau setitis. Tentera Fir’Aun yang mengejar semakin lama semakin hampir. Setelah pengikut terakhir Musa selesai menyeberang, laut bercantum kembali menenggelamkan Fir’Aun dan konco-konconya. Inilah akibat apabila membantah Allah dan rasulNya sebagai peringatan buat umat akhir zaman. Dikecualikan beberapa orang antaranya Saidatina Asiah dan Mariam bt Saidina Musa yang berumur 700 tahun sebagai bukti kebenaran berita ini pada kamu wahai Muhammad. 

BAPA NABI IBRAHIM AS TIADA HIDAYAH

Firman Allah sabda Nabi saw,
Ceritakan pula berita Nabi Ibrahim as kepada mereka wahai Muhammad. Ibrahim tidak pernah tunduk kepada berhala walaupun baginda dibesarkan dalam keluarga pembuat berhala. Sepanjang zaman remajanya, baginda asyik memikirkan akan penciptaan alam ini. Setelah dewasa, Ibrahim mempersoalkan bapanya tentang tokong berhala yang disembah sejak warisan datuk neneknya. Baginda menyatakan pendiriannya yang hanya sembah Tuhan Rabbul Alamin yang mencipta alam ini. Sabda Nabi Ibrahim as lagi sambil berdoa. Tuhan yang menjadikan aku dari Adam. Yang mengurniakan rezeki makan minum. Dia yang memberi petunjuk padaku. Jika aku sakit, Dia yang menyembuhkan sakit. (Ash-Syu’ara ayat 80- Doa Nabi Ibrahim as sebagai penyembuh sakit -kredit Ustaz Sharhan Syafi'e) Dan Dia menghidupkan aku di mahsyar setelah aku mati di dunia ini. Bukan tokong patung yang tiada memberi apa-apa rezeki dan tiada mudarat kalau tidak disembah. Tokong syirik ini menjadi musuhku. Wahai Tuhanku, berikanlah ilmu dan hubungkan aku dengan segala orang soleh, sebutkan namaku dalam perkara baik kepada orang terkemudian sehingga hari kiamat.” Sehingga hari ini, dalam tahiyat solat disebut Nabi Ibrahim as. Ya Allah, jadikan aku orang yang mempusakai syurga Jannatul Naim dengan pelbagai nikmat. Ampunkan bapa ku yang sedang kesesatan hidupnya ketika ini. Firman Allah wahai Ibrahim, bapa kamu akan mati kafir dan menjadi musuh Allah. Setelah jelas situasi bapa baginda, Ibrahim berhenti berdoa.

PEMIMPIN YANG MATI MENIPU RAKYAT DIHARAMKAN SYURGA
(Hadis sensitif menegur Pemerintah)

14-04-04 Sahih Muslim periwayat oleh Al-Hasan ra. Dari Maqqil bin Yasar ra ketika uzur yang diziarah oleh Ubaidillah bin Dziath ra sabda Nabi saw. Pemimpin yang mati dalam keadaan menipu rakyatnya diharamkan masuk syurga.

Sahih Muslim diriwayat oleh Abil Maligh ra. Dari Maqqil bin Yasar ra ketika uzur yang diziarah Ubaidillah bin Dziath ra sabda Nabi saw. Pemimpin yang mahukan sangat jawatan tetapi tidak bersungguh menjaga rakyatnya tidak masuk ke dalam golongan yang masuk syurga.

Tafsir Nurul Ihsan jilid 3 ms161 surah Ash-Syu’ara’ Maqiah (diturunkan di Mekah) ayat 90-122

Firman Allah sabda Nabi saw,
Kubur adalah rumah pertama alam akhirat. Allah menyindir pada kafir "Mana benda yang kamu sembah itu?Kenapa benda yang kamu sembah itu tidak menolong kamu? Ketika dilempar ke neraka, penghuni neraka kesal akan kesilapan diri. Tetapi semuanya sudah terlambat, azab seksa keras lagi dasyat dan tidak terperi kesakitan itu menanti mereka. Ahli neraka menyalahkan keturunan mereka sedangkan mereka diberi pilihan ketika hidup di dunia. Pada hari tersebut, tiada siapa dapat membantu.

BERITA NUH AS

Beritahu berita Nuh as kepada umatmu wahai Muhammad. Semua Nabi bermula Adam sehingga Muhammad membawa risalah tauhid Allah. Menolak salah satu bererti kafir. Sabda Nuh as ketika berdakwah."Aku hanya diamanah untuk menyampaikan risalah mentauhidkan Allah tanpa sebarang kepentingan peribadi, tanpa upah dan tanpa sebarang balasan." Pembesar-pembesar kaya membalas, "Kami berkedudukan dan berpangkat tinggi sedangkan kamu hanya layak bersama orang-orang hina dalam masyarakat." Nuh menyahut "Dakwah aku untuk semua tanpa mengira darjat kedudukan. Sekiranya kamu faham ajaran agama, kamu tidak akan memandang rendah orang lain." Wahai Nuh, jika kamu tidak berhenti, kami akan ugut kamu." Selepas bersabar dengan pelbagai ancaman dan ugutan selama 950 tahun, akhirnya Nuh berdoa supaya Allah menurunkan bencana dan memelihara pengikut baginda. Seramai 40 lelaki dan 40 perempuan termasuk pelbagai binatang menaiki bahtera. Kami memberikan anugerah kepandaian kejuruteraan perkapalan pada Nuh supaya menyiapkan bahtera membawa mereka yang beriman kerana Kami menurunkan banjir besar yang menenggelamkan seluruh dunia. Allah menyayangi orang-orang yang beriman.

BERI SALAM PENGHUNI KUBUR DAN UCAPKAN SATU HARI KITA MENGIKUT MEREKA


12-05-04 Sahih muslim dari Abi Hurairah ra sabda Nabi saw. Berilah salam kepada penghuni kubur muslim dan ucapkan tidak lama lagi kami mengikuti kamu semua. Aku terlalu merindui untuk berjumpa saudara-saudaraku yang akan lahir setelah jauh kewafatanku nanti. Kita akan mengenali mereka di akhirat melalui tanda putih pada anggota wuduk mereka. Umatku yang murtad akan terhalang dari menuju ke telagaku.

BERITA NABI HUD KAUM AD

Pengajian tafsir Nurul Ihsan jilid 3 ms 164 surah As-Syua’ra ayat 123-159 syarah Ustaz Shamsuri

Firman Allah sabda Nabi saw, sampaikan berita ini sebagai pengajaran kepada umatmu wahai Muhammad.

Nabi Hud as wafat ketika umur baginda 464 tahun. Rupa parasnya cantik seperti Adam as. Sabda Hud as, “Kenapa kamu semua tidak takut Tuhan sedangkan kamu semua mengaku alam semua ini ciptaan Allah dan segala yang berlaku atas kehendakNya. Percayalah aku diutus Allah sebagai Rasul kamu semua. Seruanku bukan kerana upah dan aku hanya mengharapkan pahala. Adakah kamu rasa kamu sudah cukup kuat, kaya dan tidak perlu kepada Tuhan lagi? Janganlah bertindak zalim dan kejam pada kaum yang lemah. Bersyukurlah dengan kurniaaan nikmat kepandaian, tubuh kuat dan tanah subur melalui menunjukkan takut kepada Allah. Aku takut azab bencana alam dunia diikuti seksa keras di neraka menimpa ke atas kamu semua.” Mereka menjawab. “Jangan sekali-kali  mempertikaikan penyembahan warisan keturunan kami sejak zaman berzaman dan jangan cuba menakutkan kami dengan pembohongan azab tersebut.” Pada hari Rabu 8 Syawal, angin sejuk mematikan kesemuanya. Ayat 6 surah Al-Haq Kami binasakan mereka dengan angin sangat sejuk lagi kencang. Kami jalankan angin ini selama 7 malam 8 hari tanpa henti binasakan seluruhnya seorangpun tidak terlepas. Itulah membuktikan dalil kekuasaan Kami.

BERITA NABI SALEH KAUM SAMUD

Nabi Saleh as wafat ketika usia baginda 280 tahun. Sabda baginda “Tidak takutkah kamu kepada Allah? Apa yang ku kata ini sama seperti apa yang Tuhan kamu kata. Peringatanku ini bukan kerana kepentingan peribadi tetapi kerana pembalasan ganjaran dari Allah. Kamu semua ingat dengan membantah aku ini kamu semua akan selamat? Adakah kamu ingat kamu sudah hebat dengan pencapaian teknologi senibina kamu ini.” Mereka menjawab,”Mana Tuhan yang kamu katakan itu sedangkan berhala yang kami sembah itu terang-terang wujud di hadapan mata kepala kita. Kamu ini sudah terkena sihir kerana bercakap merapu malah kamu tidak kaya seperti kami, mustahil kamu menjadi pemimpin kami? ” Firman Allah “Kami menunjukkan bukti kekuasaan Kami dengan mengeluarkan unta sebesar 60 hasta x 60 hasta melalui mukjizat Nabi Saleh as.” Sabda Nabi Saleh as. “Peraturan pertama air telaga ini dikhaskan kepada unta selang sehari begiliran dengan kita dan kita akan meminum susunya pada hari giliran unta tersebut. Peraturan kedua jangan sesekali mengapa-apakan unta mukjizat Allah ini.” Akhirnya pada hari Rabu, unta terebut disembelih. Sabda Saleh as,”3 hari binasa kamu.” Khamis-muka mereka yang terlibat menjadi pucat, Jumaat-muka mereka menjadi merah menyala. Sabtu-muka menjadi hitam. Kesudahannya pada hari Ahad mereka mati kepanasan selepas diherdik malaikat Jibril as. Selepas kejadian berikut, sebahagian besar tetap tidak beriman. Demikianlah dalil membuktikan kekuasaan Kami.


JANGAN MELINTAS TEMPAT SUJUD KETIKA SOLAT

14-07-04 Sahih Muslim dari Musa bin Talhah kata bapanya sabda Nabi saw. Letaklah benda sebagai halangan sempadan sujud sebelum solat supaya tidak dilintas ketika solat.

Sahih Muslim dari Abi Said Al-Qudri ra sabda Nabi saw. Tolak orang yang melintas tempat sujud ketika solat kerana sesungguhnya dia syaitan.

Sahih Muslim dari Ibnu Omar ra sabda Nabi saw. Jangan biar sesiapa melintas tempat sujud setelah mengangkat takbir kerana sesungguhnya ada qarin di dalam orang yang melintas itu.

Sahih Muslim dari Abi Juhaim ra sabda Nabi saw. Sekiranya dia tahu dasyatnya azab akibat melintas tempat sujud ketika orang lain tengah solat, dia sanggup tunggu hingga selesai.  

Pengajian tafsir Nurul Ihsan jilid 3 ms 167 surah As-Syu'a’ra ayat 160-191 syarah Ustaz Shamsuri

BERITA NABI LUT AS
Firman Allah sabda Nabi saw.
Sabda Nabi Lut as kepada kaumnya, “Larangan liwat adalah suruhan Allah bukan rekaan aku dan dakwahku ini bukan kerana duit tetapi amanah yang dipertanggungjawabkan kepadaku setelah dilantik menjadi pesuruh Allah.” Kaumnya mengugut untuk menghalau baginda. Kami peintahkan Lut dan keluarganya yakni satu akidah supaya mengikut baginda keluar dari tempat tersebut kerana Kami akan turunkan bencana hujan batu api dari neraka. Salah seorang dari 2 isteri termasuk seorang anak Lut yang menolak mengikuti baginda dibinasakan bersama seluruh kaum Lut yang ingkar.  Batu-batu neraka yang dihujankan itu menembusi isi daging sehingga melubangkan hampir seluruh tubuh manusia.

BERITA SHUAIB AS

Di sebuah tempat bernama Aikah berdekatan Madyan dan memakan 8 hari perjalanan dari Mesir diduduki kaum Nabi Syuaib as. Sabda Shuaib as,”Marilah takut kepada Allah kerana Dia Tuhan yang Maha Kuasa. Penyampaian risalahku ini bukan kerana upah tetapi atas suruhan Allah selaku Rasul yang dilantik oleh Tuhan kita. Sukat dan Timbanglah dengan betul dalam perniagaan supaya kita tidak mengambil sesuatu yang bukan hak kita.” Umat Syuaib menipu dalam perniagaan demi mencari untung berlebihan. Mereka bukan setakat memperkecilkan saranan dakwah baginda malah langsung tidak mengendahkan larangan tersebut. Umat Syuaib dibinasakan dimulai dengan bencana cuaca panas yang bahangnya membakar kulit. Kemudian diikuti awan hitam yang disangka tempat teduh padahal keluar api membakar rentung mereka yang ingkar. Inilah dalil kekuasaan Allah sebagai bukti peringatan kepada umat akhir zaman. Berita-berita yang Aku bawakan ini sebagai pengubat kedukaan kamu wahai Muhammad kerana para Nabi zaman sebelum ini juga mengalami nasib yang sama. 


MINTA BERLINDUNG DENGAN ALLAH DARI FITNAH DUNIA AKHIRAT

11-08-04 Sahih Muslim dari A’isyah ra. Nabi saw selalu berdoa meminta perlindungan Allah dari azab kubur yang tidak ada manusia yang boleh tahan kesakitan seksanya.

Sahih Muslim dari Abi hurairah ra sabda Nabi saw. Berdoa minta perlindungan dari 4 perkara iaitu selamat dari azab neraka, selamat dari azab kubur, selamat dari fitnah dunia akhirat dan selamat dari kejahatan fitnah dajal.

ALLAH TIDAK ZALIM, MANUSIA YANG MEMBANTAH MENZALIMI DIRI MEREKA SENDIRI

Pengajian tafsir Nurul Ihsan jilid 3 ms 167 surah As-Syu'a’ra ayat 191-220 syarah Ustaz Shamsuri

Firman Allah sabda Nabi saw,
(26:192-194)Quran dibawa turun melalui malaikat Jibril as sebagai panduan kehidupan manusia di bumi dan terus ke hati kamu wahai Muhammad. (26:195)Quran sebagai amaran dan ransangan dalam lisan Arab sebagai perantara diantaranya Hud, Syuaib, Salleh dan Ismail. (26:196)Tidak beriman dengan Taurat bererti tidak menerima Nabi Muhammad saw dan menipu diri sendiri seperti yang terjadi pada para bani Israel. (26:197)Ulama-ulama Taurat mengakui kebenaran Taurat tetapi menolak Nabi terakhir Muhammad saw. (26:198-199)Bukan setakat bani Israel, bangsa Arab sendiri menolak kebenaran Quran walaupun diturunkan dalam bahasa Arab. (26:200)Kami memasukkan kufur dalam hati mereka yang tidak percaya. (26:201-202)Bagi mereka ini, Kami azab mengejut dengan menimpakan musibah tanpa disedari. (26:203-204)Ada di antara mereka yang mencabar dan mempersoalkan supaya menyegerakan azab. (26:205-207)Firman Allah kepada mereka yang sombong membantah Quran, “Bolehkah kesenangan menolong kamu di akhirat? (26:208-209)Allah Maha Adil dan tidak zalim, sesiapa membantah, akan dibinasakan, setelah diberi peluang dihantar para Nabi mengingatkan mereka.” (26-(26:212) Kafir Mekah menuduh Muhammad ini pembawa ajaran sesat yang dipesongkan oleh syaitan. Firman Allah menjawab persoalan tersebut bagi membantu kekasihNya yang berdiam diri setelah dituduh. (26:212) Surah Al-Jin, Sebelum Nabi Muhammad saw dilantik menjadi Nabi, para jin boleh menetap di langit. Tetapi selepas Muhammad diutus, para jin mengakui apabila hendak mendekati langit, mereka dihujani panahan api malaikat. Para jin tidak dapat mencuri rahsia langit selepas dibangkitkan Muhammad saw.
(26:213)“Mustahil Quran itu diturunkan syaitan kerana Quran itu sendiri menentang syaitan seperti disebut hambaKu yang berbunyi berlindung dari syaitan yang direjam. Tuduhan itu cukup karut dan ingatlah mereka yang ingkar ini pasti Aku azab” (26:213) Sahih Muslim sabda Nabi saw. Dengan sekali celupan neraka, bakal ahli neraka lupa lalu berkata dia tidak pernah merasa nikmat dunia sedangkan dia merupakan orang kaya mewah ketika hidup di dunia.  Dengan sekali celupan syurga, bakal ahli syurga memberitahu dia tidak pernah hidup susah sedangkan dia ketika di dunia sebelum itu merupakan fakir miskin. (26:213)Jangan sesekali apabila percaya Allah, serentak dengan itu berlaku syirik seperti percaya pada tangkal, tali atau yang berkaitan selain dariNya.
 (26:214) Sahih Bukhari Muslim dari Ibnu Abbas sabda Nabi saw ketika berucap di bukit Safa. Wahai kaum kerabat keluargaku, selepas kita mati, terdapat azab yang sangat dasyat. Wahai Fatimah binti Muhammad anak ku, selamatkan dirimu dari api neraka. (26:215) Wahai Muhammad, rendahkan diri disamping berkasih sayang sesama muslim dan tegas kepada kafir. (26:216-220) Wahai Muhammad, sebutkanlah kamu telah melepaskan tanggungjawab dengan menyampaikan pesananKu dan selebihnya bertawakal kepada Allah Maha Kuasa, Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. 

TIDAK MEMINTA-MINTA AKAN DIKAYAKAN OLEH ALLAH

08-09-04 Sahih Muttafakun Alai dari Hakim bin Hizam ra sabda Nabi saw. Terima sesuatu dengan penuh kerendahan hati membawa keberkatan. Terima sesuatu tetapi hati menginginkan lagi itu menyebabkan penerimaannya tidak berkat. Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima.

Sahih Muttafakun Alai dari Hakim bin Hizam ra sabda Nabi saw. Dermawan mesti bermula membantu tanggungan wajib nafkah diikuti ahli keluarga saudara-mara terdekat kemudian barulah di luar ikatan kekeluargaan. Siapa yang tidak meminta, Allah akan jadikannya orang kaya.

MELALAIKAN DARI MENGINGATI ALLAH ITU HARAM

Tafsir Nurul Ihsan jilid 3 ms171 surah Ash-Syu’ara’ Maqiah (diturunkan di Mekah) ayat 221-227

Firman Allah sabda Nabi saw,
Sesungguhnya syaitan turun kepada mereka yang suka bohong dan suka buat dosa. Di antara kawan syaitan ialah dukun. Syair atau apa saja yang membawa kepada kelalaian dari mengingati Allah itu haram. Kecuali penyair atau bidang kesenian penulisan hiburan yang mengingati Allah. Ketika dekat sakaratul maut, saat itulah baru kita tahu samada kita golongan bahagia atau celaka di akhirat.

Setiap hujah kononnya nasyid pelbagai muzik bertali haram mesti menampilkan nas sahih. Kegagalan menampilkan nas sahih atau sekadar daif perlu dibincangkan terdahulu.

No comments:

Post a Comment